Wednesday, July 29, 2015

Sedekah : What you give, you get back!






Setiap malam selepas solat isya', kebiasaannya ahli rumah akan berkumpul baca al-Mulk kemudian bersurai dengan kerja masing-masing. Bermula akhir tahun lepas, ada cadangan dari seorang ahli rumah untuk nyanyi asma'ul husna diikuti bacaan buku pilihan, berjudul "Menjadi Wanita Super dengan Asma'ul Husna". Demi kelangsungan suasana ruhiy dan amal jama'ie dalam RI (Rumah Islam), kami bersetuju, sangat bersetuju! :D  "At least, bila kita sebut nama-nama Allah ni, niatkanlah sebagai zikir harian", katanya. Saya tersenyum sendiri. Aduh...nostalgia suasana perhimpunan pagi sekolah.



Sekarang kami dah sampai nama ke-79 "Al-Barr" yang bermaksud Maha Dermawan. Menghayati nama Al-Barr dapat memotivasikan diri melakukan kebaikan dan memupuk sikap dermawan dalam diri. Rasulullah bersabda, "Hendaklah kamu takut kepada api neraka dan bersedekah walaupun hanya dengan separuh kurma. Siapa yang tidak mampu, hendaklah dia bersedekah dengan tutur kata yang baik." (Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim)




Al-Barr = Dermawan.

Sifat dermawan membawa ke arah hidup yang lapang, di dunia mahupun di akhirat. Ia adalah faktor yang mengembangkan harta seseorang. Orang yang mahu menjadikan tangannya sebagai perantara pemberian Allah kepada orang lain, dia membentangkan tangannya sebagai nikmat. Allah menjamin rezekinya di dunia dan di akhirat kelak, Allah menggantikan rezeki yang dia sedekahkan dengan curahan rahmat. 


Rasulullah bersabda, "Allah menyampaikan tiga perkara kepadamu dengan kalimat sumpah. Aku mahu menyampaikan salah satu daripada hal itu, hafalkanlah ia. Harta benda tidak berkurangan apabila kamu menyedekahkannya. Tidak ada seorang pun yang bersabar atas kezaliman yang ditimpakan kepadanya kecuali Allah menambahkan kemuliaan kepadanya. Tidak ada seorang pun yang membukakan pintu bagi orang yang meminta pertolongan daripadanya kecuali Allah menjauhkan kefakiran daripadanya." (Ibnu Majah)


Sebuah hadis kudsi menyebutkan, Allah memberikan perhatian khusus kepada orang yang dermawan. Allah berkata, "Bersedekahlah, nescaya aku memberikan rezeki kepadamu. Tangan Allah selalu penuh dengan kurnia dan ia tidak habis kerana sedekah yang diberikan oleh para dermawan pada waktu siang mahupun malam. Tidakkah kamu tahu, Allah mencurahkan rezeki  semenjak Dia menciptakan langit dan bumi? Kurniaan Allah tidak pernah habis dan singgahsana Allah itu berada di atas air. Pada tanganNya, terdapat timbangan yang direndahkan dan diangkat." (Bukhari)


Allah berkata, "Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi siapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia menyempitkan  rezeki bagi siapa yang  dikehendakiNya. Allah menggantikan apa sahaja yang kamu nafkahkan. Dialah pemberi rezeki yang sebaik-baiknya.  [ Saba' : ayat 39 ]




Bersedekah menjauhkan malapetaka

Ada kisah menarik berkaitan dengan sedekah ni. Saya harap pembaca masih bersabar membaca tulisan ini sampai habis. Serius menarik. 

Pada suatu hari, Nabi Isa berjalan di dalam sebuah dusun.. Dalam dusun itu, tinggal seorang tukang cuci baju. Penduduk dusun yang melihat kehadiran nabi Isa mengadu kepadanya, "Wahai nabi, tukang cuci itu selalu mengoyak pakaian kami. Tolonglah berdoa kepada Allah dan memohon supaya dia tidak dapat membawa bungkusan baju itu ke rumahnya".

Nabi Isa pun berdoa, "Ya Allah, janganlah Engkau biarkan dia pulang dengan bungkusan baju itu."

Pada waktu itu, tukang cuci itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumah bagi mencuci pakaian sambil membawa tiga potong roti. Di tengah perjalanan, seorang abid menyapanya dan bertanya, "Adakah engkau membawa makanan? Sudah lama aku tidak makan."

Tukang cuci itu pun memberikan sepotong roti kepadanya. Kemudian abid itu berdoa, "Semoga Allah mengampunkan dosamu dan menyucikan hatimu."

Sesudah abid itu habis memakan rotinya, tukang cuci itu pun memberikan sepotong roti lagi lalu abid itu berdoa, "Semoga Allah mengampunkan dosamu yang lalu dan yang akan datang".

Apabila abid itu habis memakan roti itu, tukang cuci memberikan rotinya yang terakhir. Sekali lagi , abid itu berdoa, "Semoga Allah membina sebuah rumah untukmu di syurga."

Selepas itu, tukang cuci pulang ke rumahnya dengan selamat. Orang-orang di dusun itu kehairanan kerana mereka meletakkan seekor ular berbisa dalam bungkusan yang dibawa oleh tukang cuci tadi. 

Mereka melaporkan hal itu kepada Nabi Isa. Nabi Isa pergi berjumpanya dan bertanya, "Apakah yang kamu lakukan hari ini?" Tukang cuci itu menjawab, "Saya bertemu dengan seorang abid yang sedang beribadat di atas bukit, dia meminta rotiku dan aku berikan kepadanya tiga potong roti. Bagi setiap potong roti yang aku berikan, dia mendoakanku." Nabi Isa berkata, "Bawa ke sini bungkusan yang kamu bawa tadi."

Dia pun mengambil dan menyerahkan bungkusan itu kepada Nabi Isa. Apabila Nabi Isa membukanya, beliau melihat seekor ular hitam dengan mulut terikat. Nabi Isa bertanya kepada ular itu, "Wahai ular, bukankah kamu dimasukkan dalam bungkusan ini bagi membunuh tukang cuci ini?"

Ular itu menjawab, "Benar, tetapi dia kemudian bertemu dengan seorang abid dan memberikan makanan kepadanya. Abid itu mendoakannya, para malaikat mengaminkan doa itu sehingga Allah mengutuskan malaikat bagi mengikat mulutku."  Kemudian Nabi Isa berkata, "Wahai tukang cuci! Perbaikilah amal perbuatanmu, sesungguhnya Allah mengampunkan dirimu berkat sedekahmu."






Manfaat Bersedekah.

Menurut Rasulullah s.a.w, orang yang bersedekah dengan hartanya, hartanya tidak akan berkurangan, malah bertambah. Nabi juga berkata, "Tidak ada orang yang bersedekah pada siang atau pun malam hari, melainkan dia terpelihara  pada hari itu daripada mati  digigit binatang berbisa, jatuh daripada bangunan atau pun mati mendadak."


As-Samarqandi menghuraikan, bersedekah mendatngkan 10 kebaikan, lima diperoleh di dunia dan lima diperoleh di akhirat.


5 kebaikan di dunia :

1. Membersihkan harta kekayaan. Kata nabi, "Ingatlah, jual beli selalu disertai dusta dan sumpah. Oleh sebab itu, bersihkanlah hartamu dengan bersedekah."

2. Membersihkan diri daripada dosa seperti pesanan Allah, "Ambillah sebahagian daripada harta mereka sebagai sedekah bagi membersihkan dan menyucikan jiwa mereka."

3. Menolak bala dan penyakit seperti kata nabi, "Ubatilah penyakitmu dengan bersedekah."

4. Menyenangkan hati orang miskin kerana hal itu adalah sebaik-baik amal bagi orang mukmin.

5. Meluaskan rezeki seperti kata Allah, "Allah mengganti apa sahaja yang kamu sedekahkan."



5 kebaikan yang diterima di akhirat :

1. Menjadi payung atau pun perisai.

2. Meringankan perhitungan amal.

3. Memberatkan timbangan amal kebaikan.

4. Memudahkan menyeberang jambatan yang terletak di atas api neraka.

5. Meningkatkan darjatnya di syurga



*****



Entah kenapa selesai exam yang berderet baru-baru ini rajin pula mengupdate blog. Setiap hari ada saja tarbiyah peristiwa yang Allah bagi. Kalau ikutkan, hari-hari nak update. Eceh, gaya cakap macam mampu... Memang tunggang-langgang aktiviti harian kalau kerja menghadap laptop tiap-tiap hari.

Tengah update post ni pun tak sedar diri esok ada exam bertulis tajwid. Sem soifi (summer sem) kali ini, walaupun kelas 4 hari sahaja, setiap minggu rasa ada exam, hatta hujung minggu pun Dr. nak buat exam. Huhu. Doakan.


" Exam bukan Tuhan..." -quoted.


Khayr, insya-Allah.



*****



"Sem berbaki ni fokus tau Nadia, fokus! Sikit je lagi. Sikiiiit je lagi. Ana tunggu enti kat Malaysia. Nanti boleh plan sambung master sama-sama. Insya-Allah biiznillah, jika ada rezeki lebih.:')" 
-ukhty-

Rangkulannya semakin erat sebelum bergerak ke Lapangan Terbang Queen Alia. Bunyi hon tiga kali tanda pakcik teksi dah sampai di perkarangan rumah. Pelukannya dilepaskan perlahan.  Dia terus bersalaman dengan sahabat lain lalu menuruni anak tangga bersama beg rodanya.


Terima kasih ajar ana erti memberi dan ikhlas.





Doakan ana enti.. 






290715
Bayt Islah, Irbid.
Jordan.