Friday, November 25, 2011

Cliche Budak Sekolah




“Allahuakbar! Allahuakbar!...”

Bergema suara azan. Memecah kesunyian.  Semua pelajar Sekolah Menengah Islam al-Huda berpusu-pusu menuju ke musolla. Bagi banin, musollanya terletak di tingkat bawah. Manakala banat, di tingkat kedua.

       “Faizah, dah azan isya’ ni. Temankan ana pergi tandas kejap.” Kejut sahabatnya.

Faizah tersedar dari lena. Terasa kelat untuk membuka mata. Kepalanya diangkat. Baru tersedar rupanya dia terlena semasa mengulang hafazan. Lenguh pada belakang tengkuknya langsung tidak diendahkan. Terus dia bangun dari posisinya yang bersandar di dinding penjuru musolla. Sempat juga dia memerhatikan keadaan sekeliling. Ketika itu hanya segelintir sahaja pelajar yang ada. Bertadarus Al-Quran sambil menunggu waktu isya’.

Segera mereka menuju ke tandas di tingkat bawah. Tangan Faizah dipimpin erat sahabatnya ketika menuruni anak tangga.

“Oit Faizah! dah dah lah tu. Jangan dilayan sangat rasa mengantuk tu.”  Pipinya ditampar berkali-kali. Perlahan.

Terkebil-kebil mata Faizah. Digeleng-geleng kepalanya untuk menghilangkan rasa mengantuk.

“Faizah, ambil wudhu’cepat. Lepas ana keluar  dari tandas, enti mesti dah ambil wudhu’ ” Sakinah mengingatkan sahabatnya dengan gayanya sedikit keanak-anakan.

Faizah termenung jauh. Matanya tak berkelip. Langsung tak berganjak dari tempatnya berdiri.

“ Ya Allah! Awat tercegat kat situ lagi? Tunggu pak wa ka? “ Sakinah berseloroh dengan loghat kedahnya ketika keluar dari tandas. Faizah tersenyum. Terus dia mengambil wudhu’. Langsung tidak terasa dengan kata-kata sahabatnya.                                        

Faizah memang terkenal dengan sifatnya yang mudah terlena. Lagi pula dia memegang jawatan sebagai Penolong Ketua Umum. Seorang yang tenang dalam tindakan tapi blur. Hah. Kerendahan hatinya menyebabkan dia disenangi ramai dan mudah didekati.

Selesai mengambil wudhu', mereka berjalan seiringan keluar dari tandas.

“Eh Faizah, cuba tengok  tempat wudhu’ sebelah bangunan sekolah rendah tu. Lampu terbuka.”  Sakinah memulakan bicara.

“ Lepas isya’ kita  tutup ok? Mungkin pak ‘guard’ lupa nak tutup kot! “ sambung Faizah.


*****

“Awak, jangan lah sedih.” Seorang remaja lelaki cuba memujuk.

“Saya tak faham kenapa semua orang benci saya! Semua orang asyik salahkan saya! Semua orang tak pedulikan saya!”  luahan penuh emosi seorang remaja perempuan. Mereka sebaya.

Tiba-tiba lelaki itu menarik tangan Ain. Perlahan. Digenggam erat kedua  tangan Ain . Jarak kerusi yang pada asalnya jauh sedepa didekatkan. Mereka duduk bersebelahan seolah-olah itu bukan suatu kesalahan tapi kebiasaan. Umpama sepasang suami isteri saling memujuk hati. Ain tanpa segan-silu membaringkan kepalanya di atas bahu lelaki tersebut.   

“Sudahlah tu. Saya kan ada. Buat apa awak sedih-sedih?”

Lelaki itu menyeka air mata Ain yang hampir menitis di bahunya. Ain membiarkan sahaja. Dia rasa tenang. Hatinya terpujuk. Bahagia apabila ada yang mengambil berat tentang dirinya.

Tapi dia lupa bahawa itu bukan kebahagiaan yang sebenarnya. Kebahagiaan yang sebenar dapat dirasai andai Tuhan meredhai segala tindakan. Inikan pula, sudah terang lagi bersuluh maksiat di depan mata. Sudah tentu redha Allah berganti murka.

*****
Selesai solat isya’ mereka memutuskan untuk pergi ke kawasan tadi. Tujuannya untuk menutup lampu. Semakin mereka menghampiri, terdengar sayup-sayup omongan manusia. Lelaki dan perempuan. Perlahan-lahan mereka melangkah dengan lebih dekat. Tertarik pada satu lubang yang terdapat di celah dinding zink tersebut. Sakinah mengintai untuk mengetahui keadaan yang berlaku di dalam.

“Ya Allah!” Jantung berdegup laju. 

“Eh..kenapa..?” Faizah pula mengintai untuk mendapatkan kepastian.

“Faizah, mutarabbi ana!” bisik Sakinah. Dia terus menutup mulutnya dengan kedua tangannya. Terkejut dengan apa yang dilihat. Kelu lidah untuk berkata. Rasa bersalah tak terkira.

 “Astaghfirullahal’azim! Farhan dan Ain? Berdua?  Ya Allah, sabar Sakinah.” Faizah menenangkan sahabatnya. Hatinya juga tidak tenang.

“Ya Allah, apa kita nak buat sekarang?” Sakinah resah.

“Panggil Emir Fayyadh, selaku ketua asrama,” balas Faizah spontan.

Kebetulan ada seorang  banin  yang ditugaskan meronda di kawasan tersebut. Faizah memberanikan diri memanggil banin tersebut. Bukan dengan teriakan tapi sekadar dapat didengari oleh banin itu . Faizah menceritakan keadaan sebenar. Ketika itu, reaksi banin itu agak terkejut apabila Faizah menyatakan nama Farhan.

Suara Faizah tegas. Tidak lunak dan bukan pula nada amarah. Mata tidak bertentang lama. Hanya sekilas. Sekali-sekala pandangannya dilontarkan ke bawah dan ke kiri. Caranya penuh profesional.  Alhamdulillah Allah mepermudahkan urusan. Orang yang tepat mereka berjumpa.

“Nak ana panggil Ustaz Islam ke?” Tanya Emir Fayyadh mendapatkan kepastian, samada perlu panggil warden atau tidak selepas perbincangan itu selesai.

“Ana rasa tak perlu. Ana nak jumpa personal dengan mereka  dulu.”

Faizah berpendirian tetap.   Tidak suka terlalu bergantung pada guru. Lebih baik selesaikan terlebih dahulu.  Ditakuti membesar-besarkan perkara yang kecil. Siasat dahulu sebelum memaklumkan pada guru. Aib lebih terjaga.

“ Sekarang ini, ana nak enta bawa mereka ke kelas yang berdekatan. ” bicara Faizah tenang.

Mungkin ada benarnya apa yang diperkatakan. Peranan pemimpin pelajar adalah mendekati pelajar. Sentuh hati mereka.  Mencegah yang mungkar bukan sesuatu tindakan yang mudah. Tetapi untuk tergolong di dalam golongan yang beruntung disisi Allah, perlu ada keberanian dan berhikmah dalam melaksanakannya. Biarpun rasa payah.

*****

Dinding zink diketuk kuat.

“Assalamualaikum! ” suara Emir lantang. Nadanya tegas. Emir tersenyum sinis melihat reaksi mereka.

Serta –merta  Farhan dan Ain bangun dari kerusi. Sedari tadi mereka berpegangan tangan, terus dilepaskan. Terkejut. Mereka langsung tidak mendengar tanda-tanda bunyi kehadirannya.

Emir Fayyadh, siapa yang tak gentar melihatnya. Seorang yang tegas dan sentiasa bangun malam untuk bertahajud. Sangat menjaga hubungannya dengan Allah dan pelajar. Disiplin pelajar asrama juga sentiasa dalam pemerhatiannya. Rasa tercabar sekiranya  peraturan asrama dilanggar. Bermacam dendaan dilakukan. Bumping, seat-up, lari keliling padang. berkawad sehingga kejang kaki dibuatnya. Denda itu semuanya bermotif untuk melahirkan pelajar yang berdisiplin. Setiap tindakannya berhadaf. Tiada yang sia-sia. Boleh dikatakan senior contoh yang terbaik kepada adik-adik.

“Eh, macam mana abang Emir boleh ada di sini?” Tanya Farhan. Cuak. Raut wajahnya sedikit pucat.

“Macam mana ana boleh ada disini? Bukan ke itu persoalan yang sepatutnya ana tanyakan kepada enta? Apa enta buat di sini sebenarnya?” tegas Emir Fayyadh.

Farhan dan Ain hanya tunduk. Malu. Jelas ketakutan di wajah mereka berdua.

“Ikut ana sekarang!” Farhan dan Ain menurut tanpa bantahan. Hati Farhan mula berasa kurang senang. Kelakuan buruknya terbongkar diketahui senior yang dia kagumi selama ini,  Emir Fayyadh.

*****

“Terima kasih. Biar ana uruskan.” Bicara Faizah. Hormat. Sakinah hanya memerhati tindakan sahabatnya. Kagum dengan pendirian Faizah.

Emir Fayyadh hanya mengangguk tanda faham dan berlalu pergi . Kemudian, meneruskan rondaan. Tapi jauh di sudut hatinya, dia agak terkejut dengan sikap Farhan. Diam-diam ubi berisi. Baginya, Farhan mempunyai potensi yang besar untuk mengikut jejak langkahnya.

“Farhan, duduk di bahagian kanan ana. Ain, bahagian kiri . Dua-dua menghadap ana.” Arah Faizah. Serius. Suasana senyap seketika. Di dalam kelas hanya ada Faizah, Sakinah, Ain dan Farhan satu-satunya lelaki tunggal disitu.

“Allah redhakah lihat antum berpegangan tangan?”

Soal Faizah. Tajam pandangannya kepada Ain dan Farhan. Mereka berdua hanya tunduk. Tak berani membalas pandangan seorang kakak yang disegani ramai . Selama ini hanya melihat bercakap di hadapan perhimpunan, tetapi kini benar-benar di hadapan mereka berdua. Bukan lagi dengan nada lembut tapi nada amarah berbaur sedih.  Mulut terkunci. Tak berani berkata apa.

“Ain…akak nak tanya satu soalan.” Ain masih tak berani mengangkat muka.

“Cuba  bayangkan kalau mak enti sendiri berkelakuan sama sepertimana enti dan Farhan tadi. Apa perasaan?”

Persoalan counterback dilontarkan. Hatinya pedih. Kelihatan Ain semakin menundukkan kepalanya. Matanya berkaca . Hidungnya merah. Akhirnya, setitis demi setitis air matanya jatuh. Seolah dia menghayati setiap bait yang terpacul dari mulut seniornya itu.

“Farhan…enta sukakah nampak kelakuan ayah enta sebiji dengan kelakuan enta tadi? Tenangkah hati?”

Tepat renungan  Faizah kepada Farhan. Reaksinya sama seperti Ain. Tidak berani mengangkat muka.

“ Jawab!” tangannya menghentak meja.

Suara Faizah meninggi.  Semua tersentak. Termasuk Sakinah. Dia sendiri tidak menyangka akan tindakan sahabatnya. Seolah mendapat satu kekuatan dalaman, yang terzahir secara spontan. Dia benar-benar menjiwai apa yang diperkatakan.


“ Tujuan ana  panggil antum bukan saja-saja. Tak nak di akhirat nanti ditanya. Lebih baik menegur sekarang daripada membiarkan perasaan amarah bersarang. Ditakuti hidap penyakit hati. Benci tak bertempat. ”

Semua terdiam.

“Soalan terakhir, kes ini nak ana bawa ke pihak atasan atau tidak?“. Faizah memberi pilihan.

Farhan dan Ain menggelengkan kepala.

“Baiklah. Janji antum akak pegang. Akak tak akan beritahu sesiapa. Sekali lagi akak nampak situasi macam ni lagi, akak akan terus bertindak.” Faizah menutupkan perbicaraannya.

 Sejurus kemudian, Farhan keluar dari kelas. Kata-kata Faizah memang jelas. Dia tidak pernah merasa teguran sebegitu rupa. Teguran yang membuat berfikir. Seolah-olah itu juga teguran daripada Allah untuk dia. Peluangnya untuk  berubah masih terbuka, kerana aibnya masih terjaga. Benarlah apa yang orang kata, kata-kata kak Faizah memang berbisa dalam lembut.

Tiba-tiba  Ain berasa sebak. Pantas dia berlari mendapatkan naqibahnya,Sakinah.

“Terima kasih kak. Maafkan ana. Ana tak sedar apa yang ana buat.” Air matanya mengalir laju.

“Itu bisikan syaitan, jangan terlalu ikutkan nafsu.. ”, 
Sakinah memeluknya erat.

Alhamdulillah, sejak kejadian itu,  Sakinah dan Ain semakin rapat. Kini Ain tidak lagi seperti dulu. Setiap kali bertembung, melarikan diri. Sakinah sedar, muayasyah dan kepedulian dari seorang naqibah itu perlu.

*****

“Assalaamualaikum warahmatullah. Assalaamu’alaikum warahmatullah.”

Faizah mengusap mukanya sambil beristighfar. Kemudian bersalaman dengan Sakinah setelah selesai solat Subuh.

“ Faizah, apa yang menyebabkan enti dapat kekuatan eh semalam? Ana sendiri tak mampu nak buat seperti mana yang enti buat,” soal Sakinah.

Mata Faizah ditenung. Faizah tersenyum.

“Enti ingat lagi tak hadis 34? Menghapuskan kemungkaran suatu kewajipan. Dia ada sebut tentang 3 cara dalam mencegah kemungkaran.”

Sejadah ditarik dan dilipat.

“ Oh, ingat!”

“Ha, apa maksudnya? Cakap sikit. Kita muraja’ah balik.”

“ Abu Sa’iid al-Khudri r.a mendengar Rasulullah bersabda: Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangan. Jika tidak mampu, ubahlah dengan lidah. Jika tidak mampu, hendaklah dia mengubahnya dengan hati, dan hati itu adalah selemah-lemah iman.”

“Riwayat?”

“Err…Muslim!” Sakinah menyatakan dengan semangat.

“Aiwah, mumtazah. Sebenarnya dah lama ana perasan perkara ini. Baru semalam ana dapat kekuatan untuk menegur dia. Itupun selepas ana dapat hadis ni dalam liqo’ baru-baru ini.”

“Mantaplah enti. Betul-betul menghayati hadis tu.” Bahu Faizah ditepuk.

“Bukan apa, Allah beri  ana amanah besar. Bukan untuk manfaat diri, tapi semua yang berada di bawah tanggungan ana sekarang.”

“Bila enti cakap macam tu tiba-tiba ana teringat kata-kata ustaz. Kebenaran dan kebatilan sudah lama wujud di atas muka bumi, seiringan kewujudan manusia. Setiap kali bara iman dalam jiwa padam, Allah akan mengutuskan orang yang akan menyala dan menyemarakkannya dengan memperjuangkan kebenaran. Dengan itu, ahli batil akan tetap berada dalam keadaan hina.”

Faizah mendengar dengan teliti. Hanya tersenyum sendiri. Setuju dengn kata-kata sahabatnya. Penuh berisi.

“Sebab itu jangan sesekali membuka ruang kepada mereka. Ditakuti kerosakan bermaharajalela. Kalau kita masih redha dengan kemungkaran, tandanya kita masih lemah iman. Betul tak?”

Faizah mengangkat kening double-jerk. Tersenyum sinis mereka berdua.