Sunday, October 30, 2011

Bengkel Penulisan Bersama Hilal Asyraf : Apa Yang Saya Dapat?

Disini saya kongsikan dengan anda mengenai apa yang saya peroleh melalui bengkel penulisan tersebut. Nukilan di bawah 100% bukan hasil pena saya tapi salah seorang sahabat pena saya yang turut mengikuti bengkel penulisan ini (http://tidakbest.blogspot.com). Segala yang diperoleh, sama dengan apa yang saya peroleh. Moga ada manfaatnya bagi yang ingin bergelar "PENULIS MUSLIM" (^^,)

Bagaimana akh Hilal mengangkat bidang penulisan hingga ke satu aras yang tinggi begitu mengujakan. Tak pernah terfikir, penulisan yang selama ini aku pandang sebagai medan suka adalah sebenarnya satu medan yang serius, terancang, dan signifikan. Bahkan bernilai pula di sisi agama, sebagai fokus utama.

Bagaimana misi "menulis apa yang masyarakat perlu, bukan apa yang masyarakat mahu" menenggelamkan 'menulis apa yang aku mahu' jauh ke dasar. Penulisan berobjektif tentulah lebih utama.

Diam, bermuhasabah. Teringat lagi kata akh Hilal, "membawa Islam di mata pena". Seorang penulis muslim haruslah menulis sesuatu yang Islamik dan tarbawi. Mendidik dan mendekatkan diri, pembaca dan penulis kepada Ilahi. Membuka jalan kepada pembaca mengenal keindahan Islam.

Begitu rupanya. Puisi, cerpen, aktikel, novel, atau apa sahaja yang kita tulis andailah tidak islamik dan tarbawi, terkeluar dari landasan ibadah. Maka tidak memberi makna. Lebih merisaukan apabila tulisan-tulisan sendiri mengajar pembaca kepada kecintaan terhadap dunia. Apakah Allah tidak memandang?

"Berapa ramai penulis menulis kerana habuan wang, royalti". Satu golongan yang akh Hilal larang untuk dicontohi. Namun, lupakah kita kepada, 'berapa ramai penulis yang menulis tanpa mengharap habuan wang, royalti tetapi tulisannya (tanpa sengaja) tidak menafikan jahiliyah, bahkan meruntuhkan ummah?'

Astagfirullah. Mengucap panjang. Perlu diselidik semula mengapa aku menulis. Sekadar suka-suka tidak cukup untuk membenarkan nikmat akal, idea, kecintaan dan kelapangan yang Allah beri.

Andailah ingin diangkat penulisan sendiri ke tahap ibadah. Adakah ibadah boleh berpaut atas dasar 'suka-suka'? Sedangkan setiap ibadah tentunya ada peraturan-peraturan yang menjadikannya ibadah. Apa syarat yang perlu ada agar penulisan menjadi ibadah?

Hubungan kepada Allah. Dan kerendahan hati dalam penulisan. Tulisan yang ada padanya kerendahan dan kejujuran, akan sampai kepada hati juga. Dan Allah jualah yang berhak menyampaikan kebaikan kepada pembaca, melalui tulisan kita. Lalu bolehkan kita tidak menjaga hubungan dengan-Nya?  Begitulah jalannya dakwah akan tersebar luas, InsyaAllah.

Islamik dan Tarbawi. Tanpa salah satu ciri ini, penulisan akan cacat. Tak islamik tetapi tarbawi, tidak akan mendekatkan pembaca kepada Islam. Islamik namun tidak tarbawi pula menyebabkan penulisan menjadi kosong. Berjasad tetapi tak bernyawa.

Akhirnya, berdisiplin dan istiqamah. Adakah menulis apabila mahu sahaja? Adakah beribadah apabila mahu sahaja? Inilah bezanya penulis muslim dan penulis biasa.

Sekarang soal pada diri, bersedia melangkah ke tahap yang lebih tinggi? Andai bersedia, ayuh renovasi!

Semoga kita semua tidak tergolong dalam golongan yang rugi. "Apa lagi yang lebih rugi, dari ruginya masuk neraka Allah taala?"

Wallahualam.